Wednesday 5 November 2014

Hebat dan ajaibnya Surah Al-Mulk!

Saya masih ingat masa zaman belajar dulu ada seorang kawan saya pernah bercerita yang dia mahu menghafal surah Al-Mulk. Katanya cikdu dia pesan. Walaupun begitu cerita dia berlalu begitu saja walaupun saya tak tahu kenapa dia mahu menghafaz. Mungkin masa tu saya masih remaja dan hal-hal kerohanian ni kurang sikit nak amek tau...tapi Alhamdulillah when time goes by...saya mula 'kenal' dengan surah ini. Subhanallah Maha Suci Allah!

Surah al-Mulk adalah surah ke 67 dalam al-Quran. Surah ini tergolong surah 'makkiyah' yang terdiri daripada 30 ayat. Dinamakan al-Mulk kerana kata 'al-Mulk' yang terdapat pada ayat pertama surah ini. yang bererti 'Kerajaan'. Surat ini disebut juga dengan 'at-Tabaarak' yang bererti 'Maha Suci'.

Surah al-Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia akan menjadi penyelamat dan pendinding dari seksa kubur kepada pembacanya. 



Secara umumnya, surah ini banyak mengisahkan tentang kekuasaan Allah SWT terhadap makhluk ciptaan-Nya. Ini jelas digambarkan daripada tajuk surah ini, al-Mulk, yang bermaksud 'kerajaan'. Pada awal surah, ayat ini diceritakan kesempurnaan ciptaan alam ini, yang tidak ada cacat celanya.

Terdapat banyak hadith tentang fadhilat yang terkandung dalam surah al-Mulk, iaitu:

1. Daripada Abi Hurairah r.a dari Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya di dalam Al Quran ada 30 puluh ayat yang memberi shafaat kepada pembacanya hingga diberi keampunan untuknya iaitu surah Al-Mulk.

2. Daripada Anas Ibnu Malik berkata: Nabi SAW telah bersabda. "Sesungguhnya seorang lelaki yang sebelum kamu telah meninggal dunia dan tidak ada bersamanya sedikitpun daripada kitab Allah kecuali Surah Al Mulk. Maka apabila dimasukkan ke dalam lubang kubur, datanglah kepadanya malaikat. Surah itu terus menahan wajahnya dan malaikat berkata pada surah itu "Sesungguhnya kamu daripada kitab Allah dan saya tidak mahu menyusahkan kamu, sesungguhnya saya tidak boleh memberi kamu dan kepada dia, dan kepada saya kemudharatan atau kemanfaatan. Jika kamu mahu memberi manfaat kepada si mati, jadi pergilah kamu menemui Allah SWT. 

Maka surah itu menemui Allah SWT dan berkata, "Wahai Tuhanku. si mati telah pilih saya dalam kitabmu dan dia pelajari saya dan dia membaca saya, bolehkah wahai Allah Engkau membakarnya dan menyeksanya walhal saya di dalam dadanya? Maka jika Engkau ingin membakarnya, padamlah saya dari kitabmu".

Dan Allah SWT berfirman, "Aku nampak kamu marah."
Surah Al Mulk menjawab, "Sesungguhnya saya marah".
Allah SWT berfirman, "Pergilah sesungguhnya aku memberi dia kepada kamu dan kamu menjadi shafaat ke atasnya".

Nabi SAW bersabda, "Surah itu datang kepada malaikat dan memaksanya keluar tanpa melakukan apa-apa kepada si mati. Kemudian surah itu datang dan meletakkan mulutnya kepada mulut si mati dan mengucapkan selamat datang kepada mulut yang sentiasa membaca saya dan selamat datang kepada dada yang sentiasa menghafal dan menjaga saya. Dan selamat datang kepada dua kaki yang sentiasa berdiri dan membaca saya. Maka surah itu bersama si mati dalam kuburnya si mati tidak kesunyian."

Anas berkata, "Apabila Nabi SAW khabarkan hadis ini maka tidak ada seorang pun yang kecil mahupun dewasa, hamba mahupun tuan, kecuali dia mempelajari surah ini dan Nabi SAW memanggil surah ini Al-Munjiah : Yang menyelamatkan".
(HR : Ibnu Katsir)

3. Daripada Anas Ibnu Malik berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, "Satu surah di dalam AL Quran menghujahkan kepada pembacanya sehingga memasukkannya ke dalam syurga adalah Surah Al Mulk".
(HR : At-Tabarani)

4. Ibnu Abbas r.a berkata seorang sahabat Rasulullah SAW telah mendirikan khemah di atas kubur dan beliau tidak tahu itu kubut. Beliau terdengar suara bacaan Surah Al Mulk sehingga khatam dan beliau terus menemui baginda Nabi SAW dan bersabda, "Itulah surah yang menahan dan menyelamatkannya daripada siksa kubur".
                                                                                                                     (HR :  At-Tarmizi)

5. Daripada Jabir r.a sesunggunya Rasulullah SAW tidak akan tidur hingga baginda membaca Alif Laam Mim, Al- Sajadah dan Al-Mulk.

  (HR :  At-Tarmizi)

6. Ibnu Abbas r.a berkata bacalah surah Al Mulk dan ajarkanlah kepada ahli kamu dan semua anak kamu dan kepada anak-anak kamu yang belum baligh di rumahmu dan jiranmu kerana sesungguhnya ia yang menyelamatkan dari berdepan hari kiamat di depan Allah dan memohon kepada pembacanya supaya Allah SWT menyelamatkan dia daripada api neraka dan siksaan kubur.

7. Nabi SAW bersabda, "Saya suka jika surah ini dalam hati tiap insan dari umatku"

8.  Saidina Ali bin Abi Talib RA berkata-

"Sesiapa mengamalkan surah al-Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti Nabi Yusuf AS."

                                                                                                                    (HR : Ibnu Katsir)
Kesimpulannya di antara kelebihan surah ini ialah:-
  • Surah ini akan menjadi penyelamat
  • Penegah pembacanya dari seksa kubur
  • Berada di bawah naungan sayap malaikat (mendapat rahmat Allah SWT)
  • Di hari kiamat rupanya akan dicerahkan seperti wajah Nabi Yusuf AS (cantik)
  • Dinamakan surah gagah perkasa, pintar lagi cerdik
Marilah kita bersama-sama beristiqamah mengamalkan Surah Al-Mulk yang begitu besar fadilatnya ini seperti yang diinginkan oleh Nabi SAW. Semoga kita diberi kekuatan oleh Allah SWT dan tergolong dalam orang-orang yang akan diberkati di dunia dan akhirat. Insya Allah



Wallahua'lam


No comments:

Post a Comment