Menghiasi diri dengan sifat sabar adalah akhlak orang-orang yang mulia dan terpuji. Di dalam hidup yang penuh dugaan dan berliku ini sememangnya bukan mudah. Siang malam kita mencari rezeki memenuhi tuntutan dan keperluan untuk hidup yang tidak mudah...dan Insya Allah pastinya untuk yang utama hidup di alam akhirat yang abadi itu. Bagaimanakah kita menghadapi semua ini?
Apabila sesuatu yang kita impikan tidak tercapai? Atau sukarnya menghadapi sesuatu perkara? Atau kehilangan seseorang yang menyentap kehidupan kita? Justeru bagaimanakah kita menghadapinya selain daripada bersabar? Adakah penyelesaian yang lebih baik daripada bersabar?
Yakinlah bahawa Allah swt tidak pernah mencabut sesuatu daripada kita kecuali Dia menggantikannya dengan yang lebih baik. Tetapi dengan syarat kita bersabar dan redha dengan ketentuanNya. Para wali Allah yang pernah ditimpa musibah, ujian dan cubaan akan mendapat penghormatan yang agung di syurga Firdaus.
"Kesejahteraan dan kebahagiaan bagi kalian kerana telah bersabar dalam mentaati Allah dan menerima cubaannya. Syurga adalah sebaik-baik tempat kesudahan"
(Ar-Rad: 24)
Maka kita tidak seharusnya terlalu bersedih dengan musibah yang menimpa kerana yang yang menentukan itu semua memiliki syurga, balasan, pengganti dan ganjaran yang besar. Umur di dunia ini sangat pendek dan gudang kenikmatannya pun hakikatnya sangat sedikit. Kerana akhirat lebih baik dan kekal. Sesunguhnya tidak ada sesuatu pun yang hilang dari anda apabila ditimpa musibah atau ujian itu, kerana Allah akan memberi yang lebih baik. Tidakkah itu tergolong dalam orang yang beruntung?
Yakinilah...sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik, lebih abadi, lebih utama dan lebih mulia.... Bersabarlah duhai hati....kerana sabar itu indah.
With Love...
Mama Alya
No comments:
Post a Comment